7 Cara Mendorong Pengguna Bercakap Mengenai Bisnes Kita

86% pengguna di Malaysia percaya recommendation yang diberikan oleh adik-beradik dan kawan-kawan.

Dalam kajian yang melibatkan 30,000 responden di 60 buah negara itu juga, Nielsen mengatakan “word of mouth” (WOM) merupakan sumber pengiklanan terbaik.

Suatu ketika dulu, WOM bermaksud perbualan bersemuka. Sembang-sembang.

Hari ini, media sosial menjadikan perbualan itu tersebar lebih luas. Seseorang yang suka sesuatu produk bukan saja memberitahu kawan-kawan di tempat kerja, tetapi juga menghebahkan di Facebook, Twitter, Instagram atau TikTok.

women-3452067_1920

Ada tujuh cara bagaimana kita boleh mendorong pengguna “bercakap” mengenai bisnes kita di media sosial.

1. Berikan pengalaman pengguna terbaik

Apabila mereka mendapat pengalaman terbaik menggunakan produk atau perkhidmatan kita, mereka akan bercakap mengenainya tanpa disuruh. Dalam bahasa Inggeris, ini disebutkan sebagai “good customer experience.”

Mereka menulis di Facebook atau berkongsi dengan kawan-kawan dalam WhatsApp group. Sekiranya kena cara, percakapan itu boleh menjadi viral secara percuma.

Sebab itulah kita perlu melakukan sesuatu yang “extra” dalam hubungan pelanggan. Usah berkira sangat dengan pelanggan. Berusaha menjadikan pelanggan duta produk kita.

2. Rangsang pengguna berkongsi tulisan kita

Bagaimana? Siarkan cerita yang menyentuh emosi mereka. Kongsi gambar yang membuatkan hati mereka tersentuh. Sesekali siarkan cerita kita memulakan bisnes.

Atau, bagaimana orang lain membantu sewaktu kita jatuh bankrap dulu. Elok juga berkongsi cerita bagaimana staf atau pelanggan kita membina kehidupan baru.

Apabila hati mereka tersentuh, mereka akan berkongsi cerita dan gambar itu melalui WhatsApp group. Maklumat mengenai bisnes kita juga tersebar luas.

3. Dorong influencers menulis mengenai kita

Ada dua kategori influencers. Pertama, celebrity influencers, iaitu mereka yang ada berjuta-juta pengikut. Mereka mungkin selebriti hiburan, sukan, atau politik.

Kedua, micro-influencers yang ada antara 10,000 hingga 500,000 pengikut Instagram, Twitter atau Facebook. Micro-influencers selalunya ada niche tersendiri. Contoh: kesihatan, sukan, hiburan, seni, buku, bisnes dan lain-lain.

Cari influencers yang sesuai dengan bisnes kita.

Bukan semua influencers perlu dibayar untuk menulis. Sesetengahnya membuat review apabila mereka mencuba produk atau perkhidmatan kita.

Tawarkan produk kita kepada mereka, tak perlu minta mereka tulis. Sekiranya mereka suka, mereka akan menulis dengan sendiri.

4. Kaitkan bisnes kita dengan aktiviti kebajikan

Anda boleh pilih aktiviti kebajikan ikut musim. Contoh, sewaktu isu COVID-19, mungkin anda boleh menyumbang kepada petugas di barisan hadapan. Sewaktu buka sekolah, buat aktiviti pendidikan.

Sentiasa peka dengan isu kebajikan semasa. Pengguna mudah berkongsi cerita mengenai kita sekiranya kita melibatkan diri dalam isu kebajikan yang dekat dengan hati mereka.

5. Menulis mengenai pengguna

Apabila kita menulis mengenai mereka, pengguna mudah berkongsi tulisan kita dengan kawan-kawan lain. Banyakkan menulis mengenai pelanggan kita. Cerita kebaikan mereka. Kongsi sumbangan pelanggan kita kepada masyarakat.

Usah kedekut sangat untuk menulis tentang pelanggan kita.

6. Buat program referral

Apabila pelanggan lama membawa pelanggan baru datang ke kedai kita, berikan mereka diskaun 10%. Tawarkan kupon diskaun kepada pelanggan yang boleh bawa pelanggan baru membeli produk di website kita.

Dorong pelanggan sedia ada bercakap dengan kawan-kawan mereka mengenai produk kita.

7. Galakkan pelanggan berkongsi konten

Buat pertandingan. Galakkan mereka upload gambar mereka bersama produk kita menggunakan hastag tertentu. Siarkan posting itu dalam Instagram atau Facebook kita. Berikan mereka diskaun atau hadiah.

Sentiasa ingat, pengguna ialah duta terbaik produk kita. Dorong mereka bercakap yang baik-baik mengenai bisnes kita!